10 August 2014

INFO: Merancang Waktu Kehamilan

Assalamualaikum...


Betul cakap orang, setiap kehamilan adalah berbeza. Dan beruntung sungguh bagi seorang wanita kerana berpeluang untuk merasai pengalaman tersebut.

Sebab saya baru melahirkan, dan dengan gembiranya menamatkan tempoh berpantang, jadi untuk entri saya selepas ini akan banyak berkaitan dengan topik berkaitan kehamilan dan kelahiran. Saya cuba tulis berdasarkan pengalaman sendiri, mungkin ada yang berfaedah untuk jadi rujukan.

Seorang sahabat menggelar saya planning freak..sebab setiap perkara saya akan rancang dengan teliti. Cuma, manusia memang merancang, akhirannya perlu diserahkan kepada Allah s.w.t.

Semasa anak pertama, saya sedang mengambil MBA secara part time. Kebetulan pula berkahwin pada tahun akhir. Jadi, kalau boleh saya tidak mahu terpaksa menangguhkan peperiksaan akhir tersebut. Alhamdulllah, saya bersalin 5 hari selepas kertas terakhir peperiksaan yang terakhir.

Anak kedua pula, saya benar-benar mahukan anak lelaki sebab yang pertama sudah perempuan. Kali ini kalau boleh saya mahukan anak yang lahir pada bulan Januari, sebab dari pengalaman, individu yang lahir dalam bulan ini selalunya seorang pemimpin, dan telus. Alhamdulillah, anak kedua saya lelaki tapi dilahirkan 8 hari sebelum masuk Januari disebabkan komplikasi perubatan. Kita merancang, Allah lebih tahu yag terbaik.

Yang ketiga ini pula (wah...saya harap majikan saya tidak membaca entri ini)..saya mahukan anak lelaki, dan saya mahu melahirkan pada akhir tahun kerana syarikat saya penyata kewangan berakhir Disember. Dan kalau anda seorang akauntan, pasti faham pada waktu2 ini, kerja akan jadi no.1. Makan tidur segalanya untuk pastikan akaun syarikat ditutup cantik. Saya pernah melalui pengalaman ini untuk 2 tahun, dan kalau boleh, mahu berehat untuk tahun ke-3 ini. Alhamdulillah, anak ketiga ini lelaki, cuma waktu kelahiran awal sebulan dari waktu asal.

Bagaimana merancang waktu kehamilan yang tepat?

Pertama - tahu waktu subur (kitaran haid)


Ada 4 peringkat kitaran haid.

 

Kitaran haid

 


Pertama : Hari 1-7 – Menstruation 
Sangat penting mengetahui hari pertama haid. Sila tanda di kalendar hari pertama haid dan bila ia tamat. Sebaiknya, simpan rekod untuk kitaran haid ini.

Kedua : Hari 8 -11 – Follicular
Hormon estrogen paling banyak dikeluarkan pada waktu ini. Pada waktu ini, dinding rahim akan jadi tebal di sebabkan darah yang berkumpul. Telur di ovari juga akan menjadi semakin matang.

Ketiga : Hari 14 – Ovulasi
Waktu inilah yang terbaik untuk hamil. Telur yang semakin matang di ovari sebelum ini, akan keluar dan jika tidak disenyawakan oleh sperma, akan mati dan hilang. Jika ada persetubuhan dan sperma bertemu telur yang matang tadi, ia akan turun ke tiub fallopio seterusnya masuk ke dalam rahim.

Keempat : Hari 15-28 – Luteal / Secretory
Hormom progestron akan keluar pada peringkat ini dan menyebabkan dinding rahim menebal. Jika tiada sebarang persenyawaan, dinding akan turun dan darah yang keluar ini adalah dipanggil darah haid.

Senang kata, waktu subur (dan WAJIB bersama suami isteri) adalah pada hari ovulasi berlaku. Lebih kurang 14 hari dari hari pertama darah haid keluar.

Ringkasannya, jika haid adalah:-

28 hari ~ hari ke 14 adalah hari subur

30 hari ~ hari ke 16 adalah hari subur

35 hari ~ hari ke 21 adalah hari subur

Kedua - tahu waktu subur (servikal mukus)

Perkongsian dari Dr.Zubaidi.com. Cara mudah kenalpasti waktu subur dari lendiran servikal mukus.

1.Masukkan jari telunjuk ke dalam vagina sehingga merasakan sesuatu yang agak pejal. Itu adalah pangkal rahem (cervix). Putarkan jari di situ dan keluarkan jari bersama dengan lendiran.

2.Lendiran itu perlu dipegang dengan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari. Kemudian renggangkan kedua-duanya untuk menganalisa kepekatannya.

3.Jika terdapat kekeringan di bahagian kemaluan (vulva) dan hanya sedikit lendiran mucus, jangan paksa diri untuk terus melakukannya. Ini boleh mencederakan vagina.

4.Tidak perlu menggunakan bahan pelincir seperti KY Jelly untuk tujuan ini kerana ia akan mengelirukan keputusan. Kekeringan ini bermakna seseorang itu belum lagi mengalami ovulasi. Maka kemungkinan untuk hamil adalah rendah.

5.Jika lendiran cervical mucus itu agak kental dan pekat, berwarna putih atau warna krim, ini bermakna seseorang wanita itu menghampiri waktu ovulasi. Jika direnggangkan antara kedua jari , ianya mudah putus. Kemungkinan untuk hamil adalah rendah, namun semakin lama semakin banyak kuantiti lendir dan lendirannya akan bertambah pekat dan jernih.

6.Jadi jika lendiran cervical mucus itu telah berubah menjadi warna jernih, licin dan mudah direnggangkan, ini bermakna wanita itu mengalami ovulasi. Ramai wanita yang menggambarkan lendiran cervical mucus ini sebagai warna ‘putih telur’. Ketika ini, lendiran itu boleh direnggangkan antara jari telunjuk dan ibu jari sebanyak beberapa sentimeter sebelum ianya putus. Jumlah kuantiti lendiran itu digambarkan sebagai paling banyak apabila seseorang wanita terpaksa menukarkan pantyliner beberapa kali dalam sehari.Inilah masa di mana peluang untuk hamil adalah amat tinggi. Keadaan lendiran sebegini sesuai untuk sperma hidup sehingga 72 jam.

7. Walau bagaimanapun analisa ini haruslah dilakukan ketika di awal pagi kerana lendiran cervical mucus menjadi bertambah banyak berbanding dari waktu-waktu lain.

8.Jangan lakukan analisa ini selepas melakukan jima bersama suami. Ini kerana lendiran sperma masih berada di dalam vagina isteri untuk beberapa hari. Maka keputusan mungkin mengelirukan, sama ada ianya lendiran cervical mucus atau lendiran sperma.

9. Analisa ini juga mengelirukan dan tidak memberikan analisa yang baik jika ada jangkitan kuman pada vagina, atau wanita itu memakan beberapa ubatan moden dan herba atau wanita itu mengamalkan ubat (pil atau suntikan) perancang keluarga. Ini semua akan mengubah kepekatan lendiran cervical mucus itu.

Ketiga - Ubatan dan rawatan alternatif

Ubat subur seperti clomiphene citrate boleh menolong ovari supaya mengeluarkan telur lebih dari satu, seterusnya meninggikan peluang untuk persenyawaan. 

Vitamin seperti asid folic juga boleh diambil sebagai persediaan untuk rahim.

Rawatan alternatif seperti pengambilan kacip fatimah dan manjakani.


Keempat - Doa dan sedekah

doa cepat hamil islami

Saya selalu diingatkan bahawa sedekah itu cara yang terbaik untuk segala permasalahan. Mungkin boleh perbanyakkan sedekah dalam pada masa yang sama ikhtiar dan berdoa.

Doa Nabi  Zakaria Memohon Diberi Anak yang Sholeh

 رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

 Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’yunin, waj’alna lil muttaqiina imaama.

Artinya: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa. (Al-Furqan: 74).

 Doa Nabi Ibrahim a.s. ketika belum punya anak:
 رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Rabbi hablii min ash-shalihiin. 

Artinya: Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh. (As-Shaffat: 100)

No comments:

Post a Comment

About Me

A wife, a mother of three and still surviving the corporate jungle. Wish I could give back to people, and put a mark or two in their life. Planning,negotiation and interpersonal skills are my expertise. Let's get connected.