Assalamualaikum...
Kalau tanya pada saya, kerja apa yang paling susah, saya akan jawab.. CIKGU.
Dari kecil, saya tengok arwah abah tak ada masa rehat. Dari pagi ke sekolah mengajar, di sambung ke petang untuk aktiviti ko-kurikulum, disambung lagi ke malam untuk siapkan bahan bantuan mengajar. Cuti sekolah yang panjang pun jadi pendek dek kerana abah dihantar kursus ke sana sini.
Bila abah naik Guru Besar, kami sangkakan akan lebih rehat, tapi sebaliknya. Lagi jarang di rumah. Jiran sebelah yang bekerja pejabat lebih selalu saya nampak dari abah sendiri yang jiwa pendidiknya sangat jujur. Kenapa? dulu jarang rumah kami sunyi dari anak murid yang rajin datang menyinggah, atau ibu bapa yang datang berbual atau sekadar memberi buah tangan. Hubungan cikgu-pelajar-ibubapa ini sangat kuat sehingga ada yang masih lagi berhubungan dengan kami sehingga kini walaupun abah sudah lama tiada.
Sekarang, kakak saya pula mengikut jejak langkah abah. Dan saya benar2 simpati dengan tanggungjawab yang beliau pikul. Perasaan cinta berkongsi ilmu benar2 terbatas kerana perlu menyiapkan perkara2 pengurusan lain. Bayangkan, beliau menjadi cikgu perpustakaan, mengajar mata pelajaran dan panitia yang pelbagai. Itu tidak termasuk melatih pelajar untuk wakil sekolah dan sebagainya. Saya bekerja korporat pun ada cuti hujung minggu, beliau Sabtu dan Ahad masih ke sekolah.
Saya tanya pada kakak, apa yang paling sukar apabila menjadi cikgu. Jawapan kakak: ibubapa. Ibubapa apabila menghantar anak ke sekolah, mengharapkan 100% anak itu pandai dengan ajaran cikgu. Apabila anak balik ke rumah mengadu di marah, esoknya cepat pula ibubapa ini datang ke sekolah (dan selalunya bertujuan untuk memarahi cikgu tersebut).
Aduhai......
Itu bab di marah. Belum masuk mengenai keputusan periksa dan sebagainya. Mengharapkan cikgu untuk menghafal setiap perkembangan anak murid, kalau satu kelas sudah 40 orang, cikgu ini mengajar 3 kelas...jadi mampukah cikgu seorang ini untuk menghafal setiap perkembangan daripada 120 orang anak murid tersebut? Ingatlah, kita mengajar anak sendiri 2 , 3 orang pun sudah hilang rambut, apatah lagi cikgu-cikgu ini.
Aduhai......
Saya tidak tipu, pernah juga saya terjumpa cikgu yang mengajar sekadar melepas batuk di tangga. Melihat anak murid sekadar suka suka sahaja. Rasa benci bila anak murid tersebut tidak pandai selepas SEKALI diajar. Rasa mual bila anak murid datang bertanya soalan berulang-ulang. Anak kecil yang membuat nakal, terus diherdik tanpa bantuan kaunseling.
Tapi, tak ramai macam tu. Janganlah sekerat dua yang menjadi cikgu kerana terpaksa ini dan membuat perangai tak senonoh, menyebabkan kita hilang rasa hormat pada cikgu-cikgu lain yang ikhlas.
Peringatan untuk diri sendiri. Anak seorang cikgu. Kini menghantar anak ke sekolah yang diajar cikgu juga.
Moga hati istiqamah.

No comments:
Post a Comment